Penunggang GrabFood menyahkuman bekas penyimpanan makanan bagi mencegah Covid-19 di McDonald’s, Kajang pada 23 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

MB: Kaedah jual-beli e-bazar Ramadan jamin kualiti juadah

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri akan mengumumkan kaedah jual-beli sistem e-bazar selewat-lewatnya minggu depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mekanisme  itu bergantung kepada aspek logistik termasuk mengambil kira pusat penempatan barang atau makanan dan cara penghantaran.

“Sekarang cara penghantaran sudah ada misalnya Grab, FoodPanda dan Bungkusit, tetapi bagaimana kita mahu sediakan satu dapur berpusat (central kitchen) supaya kualiti makanan terjamin seterusnya dapat diagih kepada orang ramai.

“Jadi, apa yang perlu dilakukan ialah pihak berkuasa tempatan (PBT) akan koordinasi dengan peniaga dan kemungkinan sebahagian kecil akan dapat tempat berdasarkan kelayakan,” katanya ketika diwawancara Timbalan Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin melalui siaran langsung di Facebook Pemuda Amanah Nasional malam ini.

Amirudin berkata pendekatan itu dilakukan bagi membela lebih 16,000 peniaga dan penjaja yang terkesan susulan pembatalan bazar Ramadan di negeri itu tahun ini.

“Kebiasaannya, ketika Ramadan sebahagian keluarga mengambil kesempatan berniaga makanan, pakaian dan persiapan hari raya bagi menambah pendapatan, jadi keputusan membatalkan bazar Ramadan memberi kesan,” katanya.

Beliau juga menegaskan cadangan pelaksanaan e-bazar itu tidak bertentangan arahan terbaru Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkaitan larangan penggunaan syarikat pengendali e-panggilan.

“Konteks e-panggilan adalah penghantaran makanan. Jadi pada waktu ini, restoran-restoran masih boleh beroperasi dan menghantar makanan. Tidak ada bezanya dengan bazar-bazar tersebut,” katanya.

Pada 8 April lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan  inisiatif pembelian dalam talian bagi menggantikan bazar Ramadan secara fizikal dengan bekerjasama dengan syarikat penghantaran e-panggilan, Grab Malaysia.


Pengarang :