BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Manfaat insentif RM500 kepada penjaja, peniaga kecil diperluas

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kerajaan Negeri bersetuju meluaskan manfaat insentif RM500 sekali bayar di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin kepada peniaga berlesen yang menyewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata ia melibatkan kategori pasar tani, kios, semua jenis gerai, medan selera dan pasar awam yang dikuatkuasakan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, UUK Pasar dan UUK Establishment Makanan sahaja.

“Manfaat ini terhad kepada lesen sah tahun 2020 yang diluluskan sehingga 20 Mac sahaja.
“Namun, Kerajaan Negeri setuju agar tempoh permohonan dilanjutkan sehingga 7 Jun 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan Negeri menyasarkan 80,000 peniaga dan penjaja berlesen yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan menerima bantuan sekali bayar RM500 seorang. Bantuan itu dibuat melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin.

Bagaimanapun, penjaja hanya layak membuat satu permohonan walaupun mempunyai lebih daripada satu lesen atau permit dari pihak berkuasa tempatan berbeza.

Pertanyaan berhubung bantuan boleh dibuat menerusi talian 1-800-22-6600 (24 jam) atau emel kepada [email protected].

 


Pengarang :