Dato’ Seri Amirudin Shari diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Petaling, Johary Anuar mengenai laporan harian bilangan individu dikuarantin di Pusat Transit Kuarantin Rakyat di Hotel Sunway Clio, Subang pada 7 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA

MB: Pegawai daerah di pusat kuarantin pastikan keperluan cukup

PETALING JAYA, 7 APRIL: Kerajaan Negeri menempatkan seorang pegawai daerah di setiap pusat kuarantin di negeri itu bagi menguruskan keperluan individu yang sedang menjalani kuarantin bagi pencegahan penularan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pegawai terbabit memantau setiap aktiviti dan pergerakan keluar masuk di pusat kuarantin berkenaan supaya mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Kita bantu setiap pusat kuarantin daripada aspek sumber manusia dengan menempatkan pegawai daerah yang akan bertindak selaku ketua operasi.

“Persiapan dilaksanakan juga meliputi peraturan harus dipatuhi pegawai termasuk mereka yang tinggal di sana, manakala makanan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikendalikan pegawai daerah,” katanya selepas melawat Pusat Transit Kuarantin Rakyat di Sunway Clio Hotel di sini hari ini.

Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 389 individu di bawah pengawasan Covid-19 ditempatkan di hotel berkenaan sejak ia dibuka pada 5 April lalu.

Amirudin berkata tiga pusat kuarantin dibuka setakat ini yang menjadi lokasi penempatan pesakit bawah pengawasan (PUS) dan pesakit bawah pemeriksaan (PUI) iaitu Hotel Hilton Petaling Jaya, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) termasuk Hotel Sunway Clio.

“Pusat kuarantin diwujudkan untuk mengasingkan individu yang memerlukan pengawasan dan pemeriksaan supaya kita dapat menghentikan rantaian wabak berkenaan.

“Saya percaya pengasingan ini memberi kesan yang bagus demi memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai terus terjamin,” katanya.


Pengarang :