AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Ramadan disambut berbeza, mula kebiasaan baharu

SHAH ALAM, 23 APRIL: Ramadan tahun ini yang disambut dengan cara berbeza susulan wabak Covid-19 disifat permulaan kepada penyesuaian kebiasaan baharu dalam masyarakat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata waktu yang mencabar memberi umat Islam masa mencukupi untuk melaksanakan ibadah di rumah serta merenung kembali kepatuhan masing-masing kepada Pencipta.

“Tiada siapa menyangka kita akan menyambutnya (Ramadan) tanpa kebiasaan terdahulu, malahan Ramadan saya sendiri biasanya dipenuhi dengan jadual berbuka puasa yang sibuk, berubah akibat ‘gangguan’ yang dibawa oleh koronavirus,” katanya dalam perutusan Ramadan hari ini.

Amirudin berkata pandemik yang melanda dunia turut membawa 1,001 kepayahan dan hikmah sebagai salah satu bentuk ‘teguran’ Tuhan kepada cara manusia mengurus alam sekitar.

Katanya, dunia pasca Covid-19 kini mungkin lebih segar kerana direhatkan tanpa pencemaran karbon dioksida yang tidak berhenti sejak perindustrian berleluasa.

“Dunia yang sedang berdepan Covid-19 bukan sahaja merupakan sebuah dunia ‘Ramadhan’ yang terseksa akibat ‘panas terik’ dari segi kesihatan, malah ekonomi serta politik.

“Sedar atau tidak, saban tahun kita memang dilatih oleh Allah SWT dengan ‘gangguan’ berjadual, yakni nikmat ramadan. Dengan hadirnya bulan yang mulia ini, rutin seharian kita yang penuh kelalaian dan terbiasa dengan dosa terhenti untuk memberi ruang kepatuhan kepada Pencipta,” katanya lagi.

Umat Islam di seluruh negara bakal menyambut Ramadan bermula esok.


Pengarang :