Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan Pasukan Pergerakan Operasi Cari dan Saring (OCS) Daerah Kuala Langat di Dataran SUK, Shah Alam pada 11 April 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA

MB: RM1.3 juta diperuntuk laksana saringan Covid-19 skala besar

SHAH ALAM, 11 APRIL: Sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan bagi melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar dari rumah ke rumah di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia membabitkan kos pembelian kit saringan dan kos dapatan ujian makmal.

“Misi kali ini kita dapat tarik penyertaan hospital swasta yang menawarkan khidmat mereka secara percuma menerusi tanggungjawab sosial korporat.

“Kita turut mendapat sokongan penyertaan daripada jaringan hospital Kerajaan Negeri Selgate dan Selcare,” katanya ketika ditemui di Dataran SUK, pagi tadi.

Pagi tadi Amirudin menyempurnakan majlis pelepasan pasukan sukarelawan dalam misi saringan Covid-19 berskala besar ke beberapa zon merah di Hulu Langat.

Saringan itu pertama kali dibuat di Malaysia membabitkan proses saringan beramai-ramai dalam satu masa.

Pasukan sukarelawan membabitkan 48 petugas kesihatan hospital swasta itu berkeupayaan menjalankan 400 hingga 500 saringan sehari  dari rumah ke rumah kecuali di kawasan terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

“Kita gerakkan satu kumpulan sukarelawan dipecahkan kepada 13 pasukan kecil dan dianggarkan individu disaring mengambil masa sekitar 10 minit seorang.

“Kita perlu menunggu keputusan saringan (yang dihantar ke makmal) dalam tempoh seawal 24 hingga 48 jam. Daripada situ kita dapat lihat trend dan penambahbaikan misi saringan akan dilakukan ditempat lain,” katanya.


Pengarang :