Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan media selepas selesai Majlis Pelepasan Program Khidmat Bantuan Belia Siswa Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 8 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Saringan Covid-19 besar-besaran di lokasi terpilih Jumaat ini

SHAH ALAM, 8 APRIL: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) akan menjalankan saringan wabak itu secara besar-besaran di beberapa lokasi terpilih bermula Jumaat ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 1,000 hingga 1,200 orang disasar menjalani ujian berkenaan susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes jangkitan Covid-19.

“Strategi kita adalah menambah jumlah ujian saringan berdasarkan lokasi yang akan diputuskan namun beberapa kawasan telah dikenal pasti untuk melakukan ujian ini atas nasihat Jabatan Kesihatan Selangor.

“Semakin banyak ujian saringan dibuat kita akan dapat mengesan lebih ramai orang bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan,” katanya selepas pelepasan Konvoi Khidmat Bantuan Belia Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata penubuhan STFC membantu melengkapkan keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menghadapi penularan Covid-19 di negara ini.

“Pasukan petugas ini menggariskan beberapa panduan untuk kegunaan premis-premis perniagaan di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka perlu mematuhi kriteria supaya dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di premis yang beroperasi,” katanya.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan sebanyak 1,020 kes positif Covid-19 daripada keseluruhan 3,963.


Pengarang :