Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 di kaunter pandu lalu Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya pada 28 Mac 2020. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

MB: Saringan Covid-19 besar-besaran di zon merah bermula Sabtu

SHAH ALAM, 10 APRIL: Saringan besar-besaran di zon merah Covid-19 di Selangor bermula esok selepas penyelarasan pegawai selesai hari ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya sedang mengumpulkan 5,000 kit saringan dan perkembangannya dipaparkan menerusi video.

“Esok  kita lakukan di beberapa lokasi dan kita  pamerkan video kawasan tersebut. Kita maklumkan berapa ramai kita dapat uji (saring).

“Setakat ini kita cuba kumpulkan 5,000 kit ujian, mungkin satu kali operasi itu sekitar 400 hingga 500 (digunakan) untuk dibuat saringan,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Covid-19 Selangor hari ini.

Amirudin sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Selangor yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Enam daerah dikategori zon merah adalah Hulu Selangor, Hulu Langat, Petaling, Klang, Gombak dan Sepang.

Sehingga 9 malam tadi, Hulu Langat mencatat 370 daripada keseluruhan 1,116 kes di negeri ini, diikuti Petaling (319), Klang (146), Gombak (119), Sepang (54), Hulu Selangor (41), Kuala Selangor (27), Kuala Langat (25) dan Sabak Bernam (15).

Kementerian Kesihatan menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.


Pengarang :