Petugas Selcare melakukan saringan Covid-19 pandu lalu di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 19 April 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Saringan Covid-19 pandu lalu bakal diperluas, tumpu titik panas

SHAH ALAM, 19 APRIL: Dato’ Menteri Besar tidak menolak kemungkinan ujian saringan Covid-19 percuma secara pandu lalu akan diperluas ke kawasan lain susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut boleh dilaksanakan pada masa depan bersandarkan keperluan lokaliti dan dewan yang boleh digunakan.

“Kita ada banyak lokaliti dan dewan yang berfungsi, mungkin boleh dilaksanakan pada masa depan tetapi sasaran di kawasan titik panas terutama Petaling, Klang dan Hulu Langat.

“Harapan kita dapat memutuskan rantaian Covid-19 seberapa pantas, namun ia tiada jaminan selagi kita tidak melakukan penjarakan sosial dan melaksanakan perkara sewajarnya,” katanya selepas meninjau operasi saringan pandu lalu di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata Selangor akan melaksanakan ujian saringan lebih besar untuk mengelak jangkitan tidak disangka atau kes sporadik.

Beliau turut menegaskan usaha mengawal penularan wabak perlu diteruskan meskipun kes harian menurun atau sifar.

“Kita juga perlu berhati-hati dengan (kes) dibawa dari negara luar seperti Korea dan China kerana selepas berjaya bersihkan kes, ada pula jangkitan dari luar. Ini perlu diperhatikan dengan betul supaya kita tidak mengulangi kesilapan negara berkenaan,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri melaksanakan saringan pandu lalu secara percuma bermula semalam khusus untuk warga emas dan individu bergejala seperti demam, selesema, batuk dan sakit tekak.


Pengarang :