Pasukan petugas kesihatan menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma kepada penduduk Hulu Langat pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Saringan Komuniti di Hulu Selangor ikut SOP KKM

SHAH ALAM, 25 APRIL: Gerak kerja operasi Saringan Komuniti Covid-19 di Hulu Selangor pada 11 dan 12 April lalu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dengan dipantau pusat kesihatan daerah (PKD), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab demikian mengenai persoalan pakaian perlindungan (PPE) yang diguna pakai pasukan petugas berulang kali yang  dikhuatiri boleh mengakibatkan jangkitan kepada penghuni lain.

“JKN Selangor turut terlibat dalam mesyuarat gerak kerja operasi ini dan bersetuju dengan SOP yang bersandarkan tatacara dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penggunaan PPE adalah mengikut SOP yang telah dipantau PKD,” tegas beliau menerusi laman sesawang www.amirudinshari.com semalam.

Beliau berkata, progam inisiatif Kerajaan Negeri itu bagi mengesan lebih awal  kesihatan penduduk yang berisiko tinggi terutama warga emas di kawasan zon merah bagi membendung wabak itu.

Amirudin berkata Saringan Komuniti  ini menggunakan ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) seperti diluluskan KKM dan tidak menggunakan alat ujian pantas serology kerana tidak diluluskan kementerian.

Pada program tersebut,, lima individu didapati positif wabak dengan empat daripada mereka tidak mempunyai sebarang gejala dikesan.


Pengarang :