Pasukan Petugas Kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah anjuran Kerajaan Selangor secara percuma di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Saringan Komuniti temui pesakit Covid-19 tanpa gejala

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sebanyak 34 peratus individu positif Covid-19 di Selangor tidak mempunyai sebarang gejala wabak menyebabkan Kerajaan Negeri mengambil langkah agresif melakukan Saringan Komuniti, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bagi mengelakkan ia terus menular dalam kalangan masyarakat dan hasil saringan hari pertama mendapati empat daripada lima kes positif tidak menunjukkan tanda wabak.

“Ini sangat berbahaya kerana mereka boleh menjadi ejen membawa wabak Covid-19,” katanya ketika sesi dialog dikendalikan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Pakatan Harapan (Pakatan) hari ini.

Sesi Interaksi Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Selangor, Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Pulau Pinang menerusi Facebook pada 21 April 2020. Foto ASRI SAPFIE SELANGORKINI

Beliau berkata pendekatan itu menumpukan lokasi zon merah di seluruh negeri berbanding menunggu data pesakit semata-mata kerana ia akan melewatkan usaha mengekang Covid-19.

Katanya, sasaran kini adalah menghabiskan 5,000 alat saringan menjelang Khamis ini dengan keutamaan kepada warga emas menerusi pemeriksaan percuma secara pandu lalu.

Dalam perkembangan sama Amirudin turut mencadangkan supaya semua negeri ditadbir Pakatan bekerjasama dan bertukar pandangan bagi menangani Covid-19 dengan lebih berkesan susulan perkembangan positif penuruan kes mutakhir ini.


Pengarang :