Petugas kesihatan menjalankan ujian rumah ke rumah bagi mengesan kes Covid-19 di Selangor. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Saringan rumah ke rumah guna alat ujian diluluskan KKM

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kerajaan Selangor menggunakan alat ujian dan makmal yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika melaksanakan saringan besar-besaran Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ujian dari rumah ke rumah juga mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seliaan Jabatan Kesihatan Selangor.

Beliau turut menjelaskan ujian yang dilaksanakan itu bukan menggunakan kaedah ujian segera (rapid test).

“Kita harus lebih agresif menangani Covid-19,” katanya menjawab pertanyaan pengikut Twitter mengenai saringan Covid-19 yang dijalankan Kerajaan Selangor termasuk dari segi SOP.

Seramai 5,000 orang disasar menjalani saringan secara berperingkat bermula semalam, dikendalikan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) meliputi pelbagai lokasi.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penggunaan teknik alat ujian segera tidak disarankan untuk tujuan diagnosa Covid-19.

Katanya keputusan ujian tepat hanya melalui teknik Tindak Balas Berantai Polimeras Masa Nyata (rt-PCR) yang dijalankan KKM.

Ini berikutan, teknik ujian rt-PCR mampu mengesan virus yang masih berada dalam badan pesakit, manakala teknik alat ujian segera yang kini terdapat di pasaran bertujuan mengesan antibodi yang terhasil dalam badan akibat jangkitan yang dialami.


Pengarang :