Suasana ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara pandu lalu inisiatif Kerajaan Negeri bersama Klinik Selcare dan dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah di Seksyen 7, Shah Alam pada 18 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Sasar 500 ujian saringan percuma pandu lalu

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kerajaan Negeri menyasarkan 500 ujian saringan Covid-19 percuma berkonsepkan pandu lalu, kata Dato Menteri Besar.

“Hari kita teruskan saringan pandu lalu Di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 Shah Alam percuma khusus untuk warga emas dan mereka yang bergejala,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter pagi ini.

Dalam jawapan kepada seorang pengguna Twitter mengapa ujian hanya dilakukan di Shah Alam, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri menyasarkan kawasan panas dahulu.

“Kita sasar kawasan panas dahulu, kita telah atur 20 pasukan dalam kalangan doktor dan sukarelawan, mulai esok kita akan buat setiap hari,” katanya.

Saringan pandu lalu secara percuma bermula semalam di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini, khusus untuk warga emas dan individu bergejala seperti demam, selesema, batuk dan sakit tekak.

Usaha itu sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam menggempur Covid-19 habis-habisan.

Saringan bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 6 petang. Keputusan saringan diketahui dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Kerajaan Negeri sejak 11 April lalu mengadakan saringan besar-besaran di zon merah Covid-19 bagi  mengesan jangkitan wabak tanpa simptom di negeri ini.


Pengarang :