Pasukan petugas menyita premis peniagaan di sekitar Majlis Daerah Sabak Bernam yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan pada 26 Mac 2020. Foto ihsan Facebook MDSB
AGENDANASIONAL

MB: Selangor patuh arahan MKN sepanjang perintah kawalan

BANGI, 7 APRIL: Selangor memberi jaminan segala keputusan terutama berkaitan operasi premis perniagaan adalah selaras keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sentiasa mematuhi arahan terkini dikeluarkan MKN sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Kita selalu ikut arahan terkini contohnya kita patuh arahan PKP fasa dua yang menetapkan waktu operasi premis perniagaan tertentu adalah bermula 8 pagi hingga 8 malam.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat ketika lawatan ke Bilik Gerakan Stesen Kuarantin Daerah Hulu Langat di Bangunan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi pada 7 April 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Begitu juga operasi pasar dihadkan dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari, sebelum ini ia beroperasi 6 pagi hingga 4 petang, kita telah betulkan dan ikut arahan,” katanya  melawat stesen kuarantin di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta semua keputusan Kerajaan Negeri diselaraskan dengan keputusan MKN.

Berhubung isu membenarkan pusat servis kenderaan dan kedai alat ganti di negeri ini beroperasi pada setiap hari, Amirudin berkata ia adalah salah faham dan perkara itu telah diselesaikan.

“Ia selaras dengan arahan MKN yang membenarkan premis menjual perkakasan alat ganti beroperasi dua kali seminggu sahaja, kita telah betulkan kekeliruan,” katanya.


Pengarang :