Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor 2.0 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Selangor teruskan saringan ke rumah, tumpu warga emas

SHAH ALAM, 12 APRIL: Selangor akan meneruskan inisiatif saringan besar-besaran Covid-19 dari rumah ke rumah di zon merah dengan memberi tumpuan kepada warga emas, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 649 orang disaring dalam tempoh dua hari sejak semalam dengan kerjasama pengurusan Selcare, Jabatan Kesihatan, polis dan Pejabat Daerah Hulu Langat.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif saringan komuniti di kawasan merah terutama kepada golongan warga emas berisiko. Kita akan gempur Covid-19 habis-habisan,” katanya menerusi Twitter malam ini.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melalui medium sama juga percaya tindakan berkenaan mampu menukarkan kategori zon merah kepada hijau, seterusnya meningkatkan peluang memutus rantaian virus.

Hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate Corporation Noor Hisham Mohd Ghouth berkata saringan rumah ke rumah perlu diteruskan ke zon merah lain berikutan ada lebih 100 titik merah di Selangor berdasarkan petunjuk Kementerian Kesihatan Malaysia.

Malah, beliau yang mengetuai operasi itu ketika ditemui di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat dekat sini turut mencadangkan pendekatan tersebut diperluaskan ke seluruh negara.


Pengarang :