Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau sekatan jalan di Lebuh Raya Persekutuan yang dilakukan polis dan tentera ketika Perintah Kawalan Pergerakan pada 7 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB tinjau sekatan polis, masih banyak kereta di jalan

PETALING JAYA, 7 APRIL: Masih banyak kenderaan di jalan raya walaupun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua semakin ketat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu disaksi beliau sendiri ketika membuat tinjauan di sekatan jalan yang dilakukan anggota polis dan tentera di Lebuh Raya Persekutuan pagi tadi.

“Semasa pemeriksaan, sebahagian pemandu memberi alasan kukuh dan tulen, namun ada juga yang beri alasan keluar untuk cari barang yang mereka rasa perlu,” katanya kepada SelangorKini.

Oleh itu, beliau menggesa orang ramai agar terus meningkatkan tahap pematuhan terhadap PKP demi kebaikan seluruh masyarakat dan negara.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis Nik Ezanee Mohd Faisal ketika tinjauan di sekatan polis dan tentera di Lebuh Raya Persekutuan pada 7 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Katanya, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan menghentikan rantaian penularan Covid-19.

“Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa inisiatif seperti e-Pembelajaran kerana kita mahu masyarakat tidak bosan duduk di rumah, sekurang-kurangnya ada aktiviti berguna yang dapat memenuhi keperluan mereka sepanjang tempoh ini.

“Walaupun kurang selesa, namun ia perkara yang perlu dihadapi bersama. Apa yang penting adalah terus kekal di rumah dan hanya mereka yang berkhidmat dalam sektor tertentu dibenarkan bekerja di lapangan,” katanya.

Sehingga semalam, jumlah individu ditahan kerana mengingkari PKP di seluruh negara meningkat 51 peratus kepada 554 orang berbanding 368 orang pada hari sebelumnya.


Pengarang :