Kakitangan MBPJ mengagihkan sumbangan makanan asas kepada penduduk melalui program PJ City Food Bank. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

MBPJ, syarikat korporat bantu 506 keluarga miskin

SHAH ALAM, 17 APRIL: Seramai 506 keluarga menerima sumbangan keperluan asas daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kata penolong pengarah komunikasi korporatnya.

Ahmad Iskandar Mohamad Mukhtar berkata program PJ City Food Bank sejak 24 Mac lalu diharap dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata pemilihan berdasarkan pendapatan isi rumah bawah RM1,500 sebulan dengan keutamaan kepada keluarga miskin yang ramai tanggungan atau tiada pendapatan sepanjang PKP.

“MBPJ amat peka dan prihatin terhadap masalah yang melanda golongan miskin bandar terutama tempoh PKP ini. Justeru, kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka teruskan kehidupan harian,” katanya dalam kenyataan.

Usaha itu disokong lebih 50 syarikat korporat di sekitar Petaling Jaya yang turut sama membantu memberi sumbangan berkenaan.


Pengarang :