Datuk Bandar MBPJ Dato’ Mohd Sayuthi Bakar menyerahkan PPE kepada petugas Pejabat Kesihatan Klang baru-baru ini. Foto Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

MBPJ-UiTM kerjasama jahit sut khas bantu petugas hadapan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sebanyak 131 pakaian perlindungan diri (PPE) fasa pertama dihasilkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 8 April lalu.

Datuk-Bandar MBPJ Dato’ Mohd Sayuthi Bakar melihat proses jahitan PPE untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan. Foto Facebook MBPJ

MBPJ dalam kenyataan di Facebook memaklumkan PPE tersebut diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Klang bagi membantu mengurangkan risiko petugas barisan hadapan yang merawat kes Covid-19.

“Usaha murni ini diteruskan lagi untuk fasa kedua bermula 14 April lalu untuk disumbangkan kepada Hospital Sungai Buloh.

“Buat masa ini proses menjahit sedang giat dilaksanakan oleh 10 peserta di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar dari Pusat Aktiviti Penjanaan Pendapatan Komuniti Bandar MBPJ di Lembah Subang 1 dan Flat PKNS Taman Dato Harun,” kata kenyataan itu.

Kenyataan sama turut memaklumkan peserta yang terlibat dalam proses tersebut diberi upah RM5 bagi sehelai pakaian yang dijahit.

Pada masa sama, kakitangan Jabatan Penguatkuasaan MBPJ turut menghasilkan kira-kira 1,000 unit pelindung muka untuk diserahkan kepada agensi terlibat menangani Covid-19.


Pengarang :