PBTSELANGOR

MBSA sedia 256 tong RORO percuma sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 28 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 256 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) secara percuma bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal sempena sambutan Aidilfitri nanti, kata ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya.

Shahrin Ahmad berkata perkhidmatan tersebut ditempatkan di beberapa lokasi secara berperingkat bermula 30 April sehingga 14 Mei.

“Tong RORO bersaiz tiga tan akan diletakkan di Seksyen 2 hingga Seksyen 36 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20 dengan tempoh penempatan di setiap lokasi selama tujuh hari atau bila-bila masa penuh akan ditarik serta dibersihkan.

“Orang ramai boleh membuang sampah pukal seperti perabut lama dan barangan elektrik termasuk almari, sofa, tilam, katil, peti ais, radio, televisyen, pengecas bateri, telefon bimbit dan sebagainya ke dalam tong tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berharap penduduk memberi kerjasama membuang sampah pukal ke dalam tong RORO yang disediakan mengikut tarikh ditetapkan.

“Langkah ini bagi memudahkan pihak kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar supaya sentiasa bersih serta selesa,” katanya.


Pengarang :