Operasi turut disertai 20 anggota lain terdiri pegawai MDHS, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) dan kumpulan Task Force dari Ibu Pejabat Daerah Polis Hulu Selangor. Foto: MDHS
PBTSELANGOR

MDHS: Langgar PKP, kilang kitar semula diarah tutup

SHAH ALAM, 11 APRIL: Sebuah kilang kitar semula di kawasan Perindustrian Rasa, Hulu Selangor diarah tutup serta merta apabila melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan meneruskan operasi, kata yang dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Shukri Mohamad Hamin berkata operasi serbuan ke kilang berkenaan diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa Kanan MDHS, Khairul Nizam Mohamed Khanafi semalam susulan aduan awam.

Katanya, operasi turut disertai 20 anggota lain terdiri pegawai MDHS, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) dan kumpulan Task Force dari Ibu Pejabat Daerah Polis Hulu Selangor.

“Seramai 23 pekerja yang berada di premis itu terdiri daripada warga tempatan dan asing ditahan sebelum di bawa ke IPD Hulu Selangor untuk tindakan susulan.

“Pengusaha kilang juga didapati melanggar syarat kelulusan lesen iaitu menjalankan aktiviti kitar semula plastik sedangkan yang diberi kelulusan oleh MDHS adalah bagi kitar semula kertas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, MDHS turut mengambil tindakan dengan memberikan notis penutupan premis serta merta dan pintu kilang ditutup menggunakan pita kuning.

Pada 3 April lalu, MDHS pernah mengeluarkan arahan lisan kepada wakil pengurusan syarikat supaya memberhentikan operasi kerana kilang itu tiada dalam senarai premis yang dibenarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam tempoh PKP dilaksanakan.


Pengarang :