PBTSELANGOR

MDSB cadang peniaga bazar Ramadan teruskan jualan dalam talian

SHAH ALAM, 3 APRIL: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) tiada halangan dengan cadangan penganjuran bazar Ramadan secara dalam talian selagi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi, kata yang dipertuanya.

Mohd Faizul Fitri Muslil berkata kaedah penjualan menerusi Facebook dan WhatsApp sudah diguna secara meluas sebelum pelaksanaan PKP.

Katanya perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah pelanggan boleh dibuat oleh peniaga dengan mematuhi arahan PKP seperti menjaga penjarakan sosial.

“Kita menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri (jika mewujudkan Bazar Ramadan dalam talian) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Langkah ini membuktikan Kerajaan Negeri tidak mengabaikan peniaga bazar di samping inisiatif bantuan yang diumumkan baru-baru ini juga dapat membantu penjaja kecil,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan memulangkan semula bayaran fi permit kepada penjaja yang sudah membuat permohonan tapak niaga Bazar Ramadan di daerah terbabit melalui keadah dalam talian.

Pada 1 April, Selangor memutuskan kesemua bazar Ramadan di negeri itu dibatalkan buat masa ini susulan penularan wabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau berbincang dengan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) secara dalam talian dan mendengar cadangan mereka mengenai isu berkenaan.

 


Pengarang :