PBT SELANGOR

MDSB sita 13 premis dan gerai ingkar PKP, tiada lesen

SABAK BERNAM, 15 APRIL: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menyita 13 premis perniagaan dan gerai penjaja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua bermula 1 April hingga semalam, kata yang dipertuanya.

Mohd Faizul Fitri Muslil berkata pihaknya bertindak ke atas premis berkaitan dengan lapan daripadanya mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mengingkari arahan pihak berkuasa semasa tempoh PKP.

“Manakala tiga premis dikenakan tindakan di bawah UUK 3 iaitu Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian kerana berniaga tanpa lesen serta dua penjaja lagi di bawah kesalahan UUK penjaja,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata 37 kompaun juga dikeluarkan terhadap peniaga dan penjaja atas kesalahan sama selain menjalankan perniagaan tanpa permit sah.

Sebanyak 136 premis perniagaan dan gerai penjaja diperiksa pasukan khas MDSB dan sepasukan anggota polis sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan pematuhan operasi perniagaan, penjarakan sosial serta kawalan di pasar awam, pasar raya dan penjaja.


Pengarang :