Kementerian Pendidikan (KPM) dalam proses merangka pendekatan berbeza bagi membolehkan pengajaran literasi dilaksanakan dengan berkesan serta program intervensi literasi awal. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Membaca, isi masa terluang ketika PKP – Saifuddin

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mengajak netizen untuk mengisi masa terluang di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April dengan membaca buku.

Beliau menerusi laman Twitternya, @saifuddinabd turut berkongsi empat buku yang sedang dibacanya iaitu “Mecca The Sacred City” oleh Ziauddin Sardar, “Factfulness” oleh Hans Rosling, “The Fourth Industrial Revolution” oleh Kluas Schwab dan “Mudahnya Maqasid Syariah” hasil karya Dr Jasser Auda dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Marwan Bukhari A Hamid.

Beliau turut mengajak pengikut di laman Twitternya berkongsi buku yang mereka sedang baca dengan membalas hantaran beliau berserta hashtag #KomunikasiKita.

Ramai yang turut berkongsi buku yang mereka baca seperti pengguna Twitter, @Same_Sarikei yang memuat naik buku “Wealth, Poverty and Politics” oleh Thomas Sowell manakala @zackiskandary yang mengetengahkan buku “Aku Nabi Isa! Refleksi Wad Sakit Jiwa” oleh Dr Rozanizam Zakaria menyatakan beliau mengambil masa tiga bulan membaca buku itu dan berjaya menghabiskannya ketika PKP.

@fendymojo berkongsi keseronokannya membaca buku “Bahasa Isyarat Malaysia” dengan menyatakan “Korang wajib cuba. Baru tau seronok dia macam mana”. Begitu juga dengan @LvFEZA yang turut membaca topik yang sama iaitu “American Sign Language: A L P H A B E T“.

Ramai juga yang membaca buku berkaitan politik, ekonomi dan juga bidang kepakaran masing-masing.

@KamellMel turut memuji tindakan Saifuddin itu dan berkata ianya satu contoh yang baik dan moga rakyat dapat turut mengikutinya.

Beliau juga mencadangkan menteri lain supaya turut mengunakan masa terluang semasa PKP untuk membaca bagi mencari idea-idea baharu untuk merancang dan mengatur tugasan masing-masing.

– BERNAMA


Pengarang :