AGAMAAGENDA

Menuju Ramadan, umat Islam diajak persiapkan diri

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Tidak sampai dua minggu lagi bulan Ramadan akan menjelang, justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengajak umat Islam supaya membuat persiapan bagi memastikan ia dapat dihayati dengan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Penolong Setiausaha Agung ABIM Mohd Shazni Abdullah dalam satu kenyataan berkata antara perkara yang boleh dilakukan ialah persiapan ilmu pengetahuan supaya setiap amalan dapat dilakukan dengan istiqamah untuk terus beramal sepanjang hari.

“Kita mengetahui Ramadan itu bukan setakat faham hukum fiqahnya. Tapi inilah bulan pengampunan, bulan kerahmatan, bulan kekeluargaan dan banyak lagi keistimewaan.

“Maka bacalah kajian dan pengisian-pengisian ilmiah bagi menjana semangat merebut fadilat setiap saat di dalam bulan yang dinanti ini,” menurutnya.

Selain itu, Mohd Shazni turut mengajak umat Islam supaya memperbanyakkan doa dan taubat memohon kepada Allah seperti yang dianjurkan oleh ulama sebelum memasuki Ramadan.

Katanya, doa tersebut dilakukan bukan sahaja menzahirkan supaya dapat dipertemukan dengan Ramadan, juga agar Allah anugerahkan kesihatan dan diberikan kekuatan sekaligus amalan ibadah dapat dilipat gandakan.

-BERNAMA


Pengarang :