Anggota bomba dan beberapa agensi lain melakukan pembersihan awam di beberapa kawasan di bawah pentadbiran MPKL pada 7 April 2020. Foto ihsan MPKL
PBTSELANGOR

MPKL minta orang ramai beri kerjasama semasa proses nyahkuman

BANTING, 7 APRIL: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) meminta orang ramai memberi kerjasama sepanjang proses nyahkuman menggunakan kaedah semburan bagi mengekang wabak Covid-19 di daerah ini, kata yang dipertuanya.

Mohamad Zain A Hamid berkata cecair nyahkuman dalam semburan tidak menjejaskan kesihatan orang ramai dan ia dilakukan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“MPKL di bawah seliaan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran serta Pejabat Kesihatan daerah Kuala Langat memantau SOP pembersihan awam yang dilakukan.

“Justeru, kita memohon orang ramai memberi kerjasama sepanjang tempoh kerja pembersihan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kekerapan pembersihan awam akan dijalankan bergantung kepada keperluan dan arahan semasa pihak berkuasa.

Terdahulu, seramai 71 anggota terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, MPKL, Pejabat Kesihatan Daerah dan lain-lain agensi terlibat dalam operasi pembersihan awam bermula dari 9.30 pagi hingga 12 tengah hari di daerah ini hari ini.


Pengarang :