Salah seorang penduduk di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang menerima barangan yang dibeli menggunakan khidmat penghantar barangan melalui celahan pagar kawat duri ketika tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pusat Bandar Utara pada 21 April 2020. FOTO: BERNAMA
PBTSELANGOR

MPS bantu permudah operasi PKP diperketat di Selayang Baru

SHAH ALAM, 26 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sentiasa bersiap-sedia membantu kelancaran operasi di kawasan Selayang Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam, kata yang dipertuanya.

Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata pihaknya melakukan proses nyahcemar di lokasi panas lebih awal sebelum PKPD diumumkan kerajaan.

“Pada masa sama, MPS juga akan bekerjasama dengan menyediakan kenderaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi lain untuk proses mengagih bekalan makanan kepada penduduk selain bantuan khemah dan air ke pondok kawalan anggota penguat kuasa,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, kerajaan memutuskan enam zon di Selayang Baru, Gombak diisytiharkan sebagai kawasan PKPD hingga 3 Mei.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata berikutan pelaksanaannya, Kerajaan Negeri akan membendung penularan wabak berkenaan dengan Pejabat Daerah Gombak dan MPS menjalankan pemantauan keadaan semasa terutama aspek bekalan makanan buat penduduk.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor juga akan melaksanakan ujian Covid-19 kepada semua penduduk di zon tersebut pada kadar segera bagi tujuan mengenal pasti individu yang positif.

PKPD melibatkan enam zon iaitu:

Zon A: Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah

Zon B: Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru

Zon C: Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru

Zon D: Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru

Zon E: Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru

Zon F: Blok A, B dan C, Selayang Makmur


Pengarang :