Majlis Perbandaran Selayang (MPS)
PBTSELANGOR

MPS sita 92 barangan penjaja haram warga asing

SHAH ALAM, 8 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita 92 barang perniagaan yang dikenakan kompaun atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa permit di tepi Pasar Borong Selayang, kata timbalan yang dipertuanya.

Dato’ Dr Juhari Ahmad berkata barangan ditinggalkan penjaja haram warga asing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kawasan itu kotor dan menimbulkan kacau ganggu.

“MPS konsisten menjalankan operasi bersepadu melibatkan semua agensi kerajaan berkaitan untuk membendung kegiatan perniagaan tanpa kebenaran terutama warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juhari berkata pihaknya memberi amaran kepada penjaja haram tidak lagi menjalankan perniagaan di situ dan meletakkan penghadang batu konkrit selepas tamat tempoh PKP.

Operasi pembersihan dan sitaan kali keempat melibatkan 90 anggota MPS dengan kerjasama polis dan wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bermula jam 9 pagi serta menggunakan sembilan jentera.


Pengarang :