Yang Dipertua MPSJ Noraini Roslan (kanan) melihat proses pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) dilakukan sukarelawan.
PBTSELANGOR

MPSJ jahit hampir 2,000 pelindung kepala, bantu petugas hadapan

SHAH ALAM, 26 APRIL: Sukarelawan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya menyiapkan 1,991 peralatan perlindungan diri (PPE) sejak 14 April hingga Khamis lalu untuk dibekalkan kepada petugas barisan hadapan, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan berkata ia untuk kegunaan golongan berkaitan yang bertugas di pusat kesihatan berhampiran dan idea membuat pelindung kepala dengan tenaga kerja 15 sukarelawan tercetus ketika hadir di Klinik Kesihatan Seri Kembangan, mendapati doktor serta jururawat terpaksa menjahitnya sendiri sehingga menganggu tugasan hakiki.

“Saya difahamkan mereka perlu menyiapkan kira-kira 1,000 helai sebulan namun atas kekangan tugasan, tidak mampu menghasilkan kuantiti disasarkan.

“Justeru, bagi meringankan beban kami bercadang mencari sukarelawan lagi bagi membantu menyiapkan PPE ini. Rata-rata mereka ada yang menjahit di Kompleks 3C, Bandar Sunway dan rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehingga semalam, 1,681 pelindung kepala telah diserahkan kepada wakil Klinik Kesihatan Seri Kembangan, Dr Nur Hidayah Mustafa manakala selebihnya akan dihantar ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk diedarkan ke Klinik Kesihatan serta hospital memerlukan.


Pengarang :