PBT

MPSJ laksana operasi nyahkuman di kawasan berisiko

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan Operasi Basmi Kuman (nyahkuman) secara berkala sejak 30 Mac lalu di beberapa kawasan berisiko tinggi bagi mencegah penularan Covid-19, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan berkata kerja pembersihan itu dijalankan mengikut jadual membabitkan ibu pejabat MPSJ serta pejabat cawangan, lima pasar awam, tandas awam dan  perhentian bas.

Beliau berkata pasar awam terlibat adalah Pasar Moden SS15 Subang Jaya, Pasar Awam Puchong Batu 14, Pasar Awam Taman Seri Serdang, Pasar Awam SK 6/1 dan Pasar Awam SK 10, Seri Kembangan.

“Proses nyahkuman dilakukan dengan kaedah semburan dan mengelap permukaan kerap disentuh seperti tombol pintu, suis lampu, sinki, tempat pemegang di kawasan laluan masuk dan tandas berdasarkan panduan Jabatan Kesihatan Selangor menggunakan cecair peluntur komersial mengikut nisbah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Noraini berkata MPSJ turut memberi notis kepada syarikat pengangkutan awam seperti Prasarana Malaysia dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk melaksanakan kerja nyahkuman meliputi stesen tren transit aliran ringan, KTM Subang Jaya serta Serdang.

Katanya, MPSJ juga mengeluarkan poster dan panduan mencegah Covid-19 di semua pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka sebagai rujukan.

“Kita sentiasa memantau perkembangan dan peningkatan kes positif juga terus berusaha menghentikan rantaian wabak ini,” tambahnya.


Pengarang :