Operasi nyahkuman dilaksanakan Majlis Perbandaran Subang Jaya bersama Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Selangor di lot pangsapuri kos rendah dalam kawasan tadbirannya.
PBTSELANGOR

MPSJ laksana operasi nyahkuman di pangsapuri kos rendah

SHAH ALAM, 22 APRIL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini menjalankan operasi nyahkuman di pangsapuri kos rendah yang tidak berupaya menjalankan kerja pembasmian di kawasan masing-masing, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan berkata terdapat 122 lot pangsapuri kos rendah dengan 40 daripadanya masih tidak berupaya menubuhkan badan pengurusan bersama dan MPSJ melaksanakan operasi itu dengan kerjasama Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Selangor.

“Inisiatif pertama kali ini untuk memastikan semburan nyahkuman dilakukan di kawasan pangsapuri kos rendah tidak mempunyai badan pengurusan yang baik dan lengkap.

“Bomba juga memberi tunjuk ajar kepada penduduk berhubung proses pembasmian supaya langkah ini dapat dijalankan setiap masa. Operasi akan diteruskan sehingga hujung bulan ini,” katanya hari ini.

Sementara itu Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Petaling, Anuar Harun berkata pihaknya berharap operasi dilakukan itu dapat membantu mengurangkan kes sekali gus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.


Pengarang :