AGENDANASIONAL

Muat turun aplikasi palsu, enam individu rugi hampir RM300,000

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Enam individu berputih mata apabila wang simpanan di dalam akaun bank mereka lesap selepas memuat turun satu aplikasi yang dihantar sindiket penipuan dalam talian.

Taktik terbaharu sindiket penipuan itu didedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selepas menerima enam laporan daripada mangsa berusia 24 hingga 59 tahun sejak 7 hingga 11 April lepas membabitkan kerugian berjumlah RM295,350.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata empat laporan diterima di Kuala Lumpur, manakala bakinya masing-masing di Pulau Pinang dan Sarawak.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan membuat panggilan secara rawak dengan memperkenalkan diri mereka sebagai pihak berkuasa termasuk polis sebelum menghantar satu pautan (www.negarabank.com.my/nbm.apk) melalui WhatsApp.

“Mangsa diarahkan memuat turun satu aplikasi didakwa daripada Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu bnmsafe (8002) melalui pautan berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Zakaria berkata mangsa kemudian diminta memasukkan maklumat peribadi dan perbankan.

“Selepas sindiket mendapat maklumat mangsa, mereka akan mengakses akaun perbankan mangsa dan membuat pindahan wang ke akaun pihak ketiga. Bagi melengkapkan pindahan itu, sindiket akan minta Kod Pengesahan Transaksi (TAC) daripada mangsa,

“Sebaik sahaja proses itu selesai, mangsa diarahkan supaya membatalkan dokumen diisi berkenaan sebelum menyedari wang dalam akaun mereka lesap,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menerima panggilan daripada individu tidak dikenali dan tidak berkongsi maklumat peribadi serta perbankan dengan mereka.

“Jika ada keraguan boleh hubungi talian hotline JSJK di 013-2111222 (WhatsApp sahaja),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :