Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 28 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Negara dalam fasa pulih, sektor ekonomi digalak kembali operasi

PUTRAJAYA, 28 APRIL: Sektor ekonomi digalakkan untuk kembali berfungsi seperti biasa kerana negara kini memasuki fasa pemulihan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Namun, tegasnya ada syarat-syarat dikenakan, antaranya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata antara SOP itu adalah saringan suhu badan, memastikan ruangan tidak sempit bagi pekerja dan tiada perhimpunan dalam kawasan tersebut, mengamalkan penjarakan sosial serta kebersihan diri seperti kerap basuh tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Ini adalah norma baru yang kita inginkan rakyat Malaysia amalkan bukan hanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi selepas PKP pun kena amalkan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan kerajaan berhubung semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh tanpa sekatan ketika PKP.

Ia diumumkan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini yang dilaporkan berkata kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada kewajipan mematuhi syarat SOP yang ditetap bagi sektor masing-masing.

Ditanya adakah ia bagi semua sektor termasuk pembinaan dan pembuatan, Dr Noor Hisham berkata SOP telah disediakan untuk semua sektor.

“Ia dibuka secara berperingkat, keutamaan diberikan kepada sektor pembinaan dan industri besar. Kemudian sektor perkhidmatan pula,” katanya.

Menjelas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum mengisytiharkan darurat kesihatan awam, melihat kepada tiga faktor iaitu kematian, jangkitan dan ekonomi.

“Jadi kita lihat di Malaysia ada tiga faktor ini. Masa peringkat awal iaitu pertengahan April kita jangkakan akan dapat kes mendadak. Masa itu kita tidak pasti akan dapat lonjakan eksponen yang mendadak, tetapi ternyata tidak ada.

“Semasa minggu itu, kita berhati-hati dalam tindakan kita. Tetapi sekarang kita dalam fasa pemulihan, jadi bila kita dalam fasa pemulihan kita menggalakkan sektor ekonomi untuk kembali berfungsi seperti biasa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :