Ilustrasi pasangan bernikah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Nikah menerusi sidang video, Jais luluskan permohonan 319 pasangan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Seramai 319 pasangan sudah mendapat kebenaran khas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk bernikah menerusi sidang video sehingga semalam, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Jais.

Nik Suhaila Nik Hussin berkata, daripada jumlah itu, seramai 78 pasangan telah dinikahkan.

Katanya, 319 pasangan yang dibenarkan bernikah adalah daripada 419 permohonan yang diterima dalam tempoh tiga hari sejak nikah menerusi sidang video dibenarkan pada 20 April lalu.

“Kami menerima permohonan nikah paling tinggi dari daerah Petaling diikuti Hulu Langat, Gombak dan Klang.

“Justeru, pasangan yang berada di zon paling banyak permohonan dinasihatkan bersabar kerana kesemua perlu diperhalusi oleh pengarah dan tindakan susulan akan diambil oleh pegawai terlibat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Nik Suhaila berkata pada masa sama terdapat tiga pasangan yang sudah menerima kebenaran khas berkahwin berubah fikiran dan menarik semula kebenaran tersebut.

“Disebabkan itu, saya nasihatkan mana-mana pasangan yang ingin membuat permohonan, dapatkan pandangan ahli keluarga terutama wali bagi mengelakkan salah faham,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata majlis akad nikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di negeri ini dibenarkan melalui sidang video, dengan syarat mendapat kebenaran khas Jais.

Beliau berkata garis panduan terperinci serta ketetapan baharu yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis itu menepati hukum, dilaksanakan dengan standard wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan terlibat kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan.


Pengarang :