Pemandangan di sekitar Bandar raya Shah Alam berjerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 139 iaitu ditahap tidak sihat ketika dirakam pada 12 tengahari hari, pada 13 September 2019. foto – HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Norma baharu ketika PKP pulihkan alam sekitar

OLEH KURNIAWATI KAMARUDIN

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Peluang menghirup udara segar mungkin berakhir sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disambung hingga 12 Mei depan ditamatkan, justeru, nikmati dan hargailah anugerah alam ini sementara masih ada kesempatan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini dipetik sebagai berkata, pelaksanaan PKP di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19 juga memberi kesan baik kepada alam sekitar.

Menurut beliau, berdasarkan analisis beberapa lokasi termasuk Cheras (Kuala Lumpur), Putrajaya, Shah Alam, Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan, Seremban, Johor Bahru dan Kota Kinabalu, kualiti udara di tempat terbabit semakin baik sepanjang pelaksanaan PKP.

Kenyataan tersebut sememangnya melegakan, namun tidak mustahil kawasan yang dilaporkan mencatatkan kualiti udara yang baik akan tercemar, seperti sebelum PKP dikuatkuasakan.

Orang ramai yang kembali sibuk dengan rutin harian termasuk memandu ke tempat kerja, kenderaan bertali arus di jalan raya, kilang mula beroperasi dan pembakaran terbuka, kesemuanya menyumbang kepada pelepasan gas termasuk karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrogen dioksida, yang mencemari udara dan alam sekitar.

Ada sesetengah pihak berpendapat, penularan pandemik Covid-19 yang menyerang hampir semua negara di dunia dan menjangkiti lebih 2 juta penduduk dengan kematian yang melebihi 160,000 orang adalah berpunca daripada kerakusan manusia yang ganas meratah alam semula jadi.

Mungkin ada kebenaran pendapat itu dan seharusnya membuka mata seluruh masyarakat dunia untuk lebih peka dan serius menjaga alam sekitar.

Hikmahnya, apabila hampir seluruh negara yang terjejas akibat Covid-19 mengambil langkah drastik melakukan penjarakan sosial, mengehadkan aktiviti dan pergerakan, ia memberi manfaat yang cukup bermakna kepada alam sekitar.

Dari wilayah Hubei, di China dan negara Asia lain hingga ke benua Eropah, kadar pencemaran udara dilaporkan menurun secara mendadak. Alam yang sering menjadi mangsa kerakusan manusia, seolah-olah mendapat kehidupan baharu.

Di India, antara negara yang paling teruk mengalami pencemaran udara di dunia dilaporkan turut menerima kesan positif. Tular di media sosial termasuk Facebook, buat pertama kalinya dalam tempoh 30 tahun, Banjaran Himalaya dapat dilihat dari jarak 201 kilometer dari bandar terdekat Punjab, India.

Pemandangan indah ini jelas kelihatan selepas negara berdekatan dengan banjaran itu melaksanakan perintah berkurung berikutan penularan pandemik Covid-19 sejak 24 Mac lalu.

Manakala data baharu yang diambil melalui setelit oleh Royal Meteorological Institute yang memantau udara di Eropah merekodkan perubahan penurunan pencemaran terutama dengan penurunan gas nitrogen dioksida.

Antaranya, Paris (Perancis) yang menyaksikan penurunan nitrogen dioksida 54 peratus, manakala Madrid (Sepanyol), Milan dan Rome (Itali) mencatat penurunan hampir 50 peratus, yang jelas menunjukkan kesan positif perintah berkurung kepada alam sekitar.

Bernama turut mendapatkan pandangan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shahrul Mohd Nadzir yang juga pakar dalam kajian kualiti udara mengenai kesan PKP terhadap pencemaran udara.

Menurut beliau, apa yang berlaku jelas menunjukkan sekiranya kita ingin terus mengekalkan udara bersih, langkah pengurangan pelepasan karbon terutama daripada industri dan asap kenderaan harus dilakukan secara serius selepas tempoh PKP.

Mengambil contoh analisis daripada sensor kualiti udara yang dimiliki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi program SMART PJ, beliau menyatakan penurunan pembebasan bahan pencemar sebanyak 50 hingga 60 peratus bagi karbon monoksida dan 20 hingga 30 peratus zarahan terampai di daerah Petaling Jaya.

“Kadar kepekatan bahan pencemar udara menurun dengan ketara sepanjang PKP ini. Sebelum ini walaupun ada usaha mengurangkan pencemaran seperti langkah mewujudkan zon bebas kenderaan tetapi kesannya mungkin tidak seperti PKP ini.

“Waktu PKP inilah kita dapat peluang untuk mengawal sepenuhnya pembebasan bahan cemar apabila kawalan penggunaan kenderaan dan penutupan industri dilakukan,” kata Shahrul.

Bagi rakyat yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan disebabkan bahan pencemar, sudah pasti mereka berasa bersyukur dapat menikmati udara yang lebih berkualiti sepanjang PKP ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, kerajaan sudah melakukan banyak usaha termasuk kempen kesedaran alam sekitar dan rakyat seharusnya lebih serius memainkan peranan dalam hal berkaitan.

Begitu juga dengan pihak industri yang perlu patuh kepada undang-undang serta peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam pembebasan gas pencemar dan bukan mengaut keuntungan semata-mata.

“Kita perlu mengambil iktibar kes pencemaran seperti di Pasir Gudang dan jerebu pada tahun lalu yang memberi impak besar kepada negara.

“Sepatutnya, udara bersih yang dinikmati ketika PKP ini perlu berterusan dengan ekosistem alam sekitar yang lebih baik,” katanya.

Keadaan yang sama juga dibimbangi berlaku kepada sungai, yang jika tidak dikawal bebanan pencemaran terutama selepas PKP berakhir, akan menyebabkan pencemaran bertambah teruk.

Mungkin ramai yang menarik nafas lega apabila tular baru-baru ini keadaan air Sungai Klang yang dikatakan semakin jernih semenjak PKP dikuatkuasakan.

Perubahan air Sungai Klang terutama di sekitar ibu negara itu mungkin disebabkan sektor pembinaan menghentikan sementara aktiviti mereka berikutan langkah PKP ini.

Sedimen daripada kerja tanah semasa aktiviti pembinaan tidak masuk ke dalam sungai yang menjadi antara punca utama kekeruhan air sungai.

Bagaimanapun, jumlah pembuangan sisa klinikal di negara ini meningkat kepada 27 peratus pada bulan Mac berbanding 17 peratus pada Februari berikutan penularan Covid-19.

Sisa klinikal itu meliputi sarung tangan, penutup mulut dan hidung serta pakaian daripada pusat kesihatan dan klinik susulan wabak berkenaan.

Tidak hairanlah sisa-sisa klinikal ini juga banyak ditemui di dalam sungai sepanjang tempoh PKP.

Peningkatan sampah jenis baharu itu dikesan ketika kerja-kerja pembersihan dilakukan di Sungai Klang yang sepanjang 120 kilometer itu.

Bukan sahaja isu sampah yang menjadi bebanan, lebih membimbangkan terutama apabila tamatnya tempoh PKP nanti bebanan pencemaran sungai di Malaysia akan terus meningkat.

Kebimbangan ini disuarakan oleh Pakar Kualiti Air, Dr Zaki Zainuddin yang menyatakan kemungkinan keadaan itu berlaku amat tinggi.

Menurut beliau, industri mungkin beroperasi pada kadar maksimum untuk menampung kerugian kerana tidak dibenarkan berbuat demikian sepanjang PKP.

Jika ini berlaku, beban pencemaran sungai akan bertambah tinggi dan dikhuatiri akan menyebabkan “kejutan” kepada sistem semula jadi atau alam sekitar. Keadaan ini bukan sahaja boleh berlaku di Malaysia malahan di serata dunia.

Untuk itu, beliau mencadangkan kepada kerajaan agar industri ini dibenarkan beroperasi secara berperingkat-peringkat bagi mengurangkan kejutan dan impak yang mungkin berlaku.

Apa pun, wajarlah kita mengambil iktibar daripada kesan PKP ke atas alam sekitar sepanjang tempoh penguatkuasaannya.

Ayuh kita semua berganding bahu untuk sama-sama mengekalkan perubahan baik alam sekitar dengan mengamalkan norma baharu bagi menjaga ekosistem yang ada.

Kita boleh melakukannya!

– BERNAMA


Pengarang :