Sebuah restoran di Tasek Permai, Ampang tidak menyediakan tempat duduk sebaliknya pelanggan boleh membungkus makanan untuk dibawa pulang sebagai usaha mengurangkan penularan wabak Covid-19 pada 19 Mac 2020. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Operasi kedai makan kekal 8 pagi hingga 8 malam

SHAH ALAM, 23 APRIL: Operasi kedai makan di seluruh negara sepanjang Ramadan kekal seperti jangka masa ditetapkan sebelum ini iaitu bermula 8 pagi hingga 8 malam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan).

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan sepanjang fasa pertama hingga ketiga masih terpakai.

“Setakat ini kita kekalkan SOP lama sebab kita cuba mengurangkan pergerakan di seluruh negara. Ini kerana apabila berlaku banyak pergerakan ia mungkin menyebabkan pematuhan yang ditetapkan tidak dapat laksanakan.

“Kita tidak mahu menyukarkan kerja polis yang membuat sekatan jalan raya kerana alasan mereka (rakyat) untuk beli makanan, jadi polis tidak boleh sekat mereka untuk keluar,” katanya selepas mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan PKP di Putrajaya hari ini.

Beliau turut memaklumkan waktu operasi perkhidmatan pengangkutan awam akan diawalkan sejam iaitu bermula 4 petang hingga 10 malam pada Ramadan ini memandangkan ramai pekerja dan kakitangan dibenarkan pulang awal oleh majikan masing-masing.

Katanya operasi pasar awam juga akan dilanjutkan dari 6 pagi hingga 2 petang berbanding 6 pagi hingga 12 tengah hari sebelum ini bagi memudahkan umat Islam membeli barang keperluan untuk persediaan berbuka puasa.


Pengarang :