SELANGOR

Operasi Mahkamah Syariah Selangor ditutup sepanjang PKP

SHAH ALAM, 8 APRIL: Operasi seluruh Mahkamah Syariah di Selangor ditutup untuk sebarang urusan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan sehingga 14 April ini.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dalam kenyataan memaklumkan bagi urusan pemfailan kes-kes mal baharu dan dokumen yang berkaitan hanya akan diterima selepas tempoh PKP berakhir.

“Manakala, bagi perbicaraan/pendengaran/sebutan/pengurusan kes mal dan jenayah sepanjang tempoh PKP juga ditangguhkan dan notis penetapan tarikh baharu akan dikeluarkan kemudian,” tulis kenyataan tersebut.

Selain itu, prosiding yang melibatkan majlis sulh, majlis tahkim, runding cara bahagian sokongan keluarga dan pelaporan oleh Jawatankuasa Pendamai sepanjang PKP turut ditangguhkan dan JAKESS akan mengeluarkan notis tarikh baharu akan datang.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan orang ramai boleh hubungi Mahkamah Syariah Selangor sepanjang tempoh PKP di nombor yang tertera pada poster dilampirkan atau layari laman web JAKESS di www.jakess.gov.my atau facebook dan instagram rasmi.

Waktu operasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang. 


Pengarang :