Orang awam berjalan melintasi Johor dan Singapura ketika kedua-dua negara memperketatkan kemasukan ke negara masing-masing ekoran Covid-19 pada 1 April 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Operasi pintu masuk Tambak Johor dihadkan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi berkaitan lain di pintu masuk bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor akan dihadkan dari 7 pagi hingga 7 malam, mulai Jumaat ini.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bagi mengawal pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia dan kenderaan komersial seperti lori dan kargo ke negara ini.

Bagaimanapun katanya operasi di Kompleks Sultan Abu Bakar berjalan seperti biasa iaitu 24 jam, termasuk kenderaan komersial seperti lori dan kargo.

“Ini supaya kes kecemasan dan keperluan perubatan tidak terjejas,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata tiada kemasukan besar-besaran oleh rakyat Malaysia di pintu masuk dari Singapura.

“Individu yang masuk melalui pintu masuk Johor wajib menjalani kuarantin. Sehingga kini, kerajaan menyediakan 6,000 bilik untuk tujuan kuarantin wajib di 22 pusat kuarantin di Johor.

“Bagaimanapun kita bersedia jika berlaku kepulangan rakyat Malaysia secara beramai-ramai dari Singapura yang mana Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diarah menambah 4,000 lagi bilik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 23.4 juta daripada 32.4 juta topeng muka percuma diperuntukkan kerajaan diagihkan ke seluruh negara, selebihnya dijangka selesai diedarkan minggu ini.


Pengarang :