Pasukan petugas kesihatan menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma kepada penduduk Hulu Langat pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pancang Bedena mukim ke-32 di Selangor berstatus zon hijau

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pancang Bedena di daerah Sabak Bernam yang mencatatkan sifar kes Covid-19 hari ini menjadi mukim terbaharu di Selangor diisytiharkan zon hijau.

Perkembangan tersebut menjadikan 32 dari 56 mukim di negeri ini berstatus zon hijau, menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

“Tahniah mukim Pancang Bedena kerana telah tambah baik ke zon hijau. Mukim Hulu Langat pula semakin hampir menjadi zon kuning dan keseluruhannya Selangor hampir bersih sepenuhnya dari zon merah tidak
lama lagi. Teruskan disiplin,” tulis pasukan itu di Twitter malam ini.

Mengikut data dikongsi STFC, Hulu Langat kekal satu-satunya mukim zon merah dengan 46 kes aktif.

Selangor merekodkan hanya satu kes baharu hari ini, berbanding lima yang dilaporkan semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini melaporkan 94 kes baharu Covid-19, dengan 72 daripadanya kes import membabitkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan keseluruhan 5,945 kes dengan jumlah kematian kekal 100 orang (1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).


Pengarang :