Notis penjarakan sosial diletakkan di tempat duduk tren Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang bagi mengawal penularan Covid-19 pada 5 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Pandemik ubah kehidupan, hadapi kebiasaan baharu pasca Covid-19

Kita telah memasuki minggu kelima dalam fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sudah tentu bukan satu perkara yang mudah untuk kita mengubah kebiasaan hidup seharian dan membataskan pergerakan kita demi satu tujuan yang dikongsi bersama iaitu untuk melawan penularan Covid-19 habis-habisan.

Pandemik berskala global ini bukan sahaja memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia tetapi juga terhadap ekonomi, psikologi dan pentadbiran dasar awam. Kebiasaan kita selepas ini pasti tidak sama dengan waktu sebelum pandemik. Begitu juga dengan keutamaan dalam aspek-aspek tertentu akan berubah pasca Covid-19 ini. Perubahan ini akan mencipta satu ‘new normal’ atau kebiasaan baharu yang mungkin tidak pernah kita fikirkan sebelum ini tetapi menjadi kemestian yang perlu diterima.

Istilah ‘new normal’ ini telah saya sebutkan di dalam ucapan saya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor 2.0 pada 1 April lalu menjadi latar kepada strategi dan perancangan kita dalam berhadapan dengan krisis besar abad ke-21 ini. Bahkan ada yang menyamakannya dengan peristiwa Spanish Flu dan juga Great Depression yang telah mengubah tatadunia dan juga paradigma pentadbiran.

Sekatan jalan raya oleh anggota polis bersama pasukan RELA di Seksyen 24, Shah Alam pada 16 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Mungkin ada yang pesimistik terhadap istilah ini tetapi bagi saya krisis seperti memberikan peluang yang luas untuk kita merangka perubahan baharu. Kita dapat melihat usaha dan ikhtiar yang merentasi negara dan benua untuk menyelesaikan permasalahan ini. Pihak kerajaan dan swasta bergabung dalam usaha mencari vaksin dan menghasilkan peralatan yang diperlukan oleh para barisan hadapan. Manakala mereka yang berkemampuan memberikan sumbangan dalam bentuk makanan dan wang kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Keterlibatan dan kebersamaan ini wajar diteruskan terutama sekali bila berhadapan dengan krisis yang bersifat global seperti pemanasan iklim, pencemaran alam sekitar dan juga jaminan makanan (food security). Ikhtiar untuk menangani permasalahan harus dijadikan kebiasaan baharu oleh semua peringkat masyarakat.

Saya difahamkan berkurangnya jejak karbon sepanjang PKP kerana kurangnya kenderaan di atas jalan raya. Ini menunjukkan bahawa ia bukan mustahil untuk dilaksanakan. Bukan mustahil untuk kita menumpukan sumber bagi membina rangkaian pengangkutan awam yang berkesan.

Jadi peneraju, rintis kemajuan

Sektor pertanian dan penghasilan bahan makanan perlu difikirkan dalam kerangka strategik utama. Krisis ini perlu menjadi suatu kejutan bahawa kita tidak mampu lagi bergantung kepada negara luar untuk sumber makanan. Krisis ini mendesak kita untuk melihat kepada inovasi dan teknologi baharu yang sedang dan akan tercipta untuk menjadikan negara sebagai ‘food independent’.

Orang ramai membeli barangan keperluan harian di kedai runcit Eka Barona ketika tinjauan di kawasan Pandan Jaya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada 22 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut tinjauan yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini, seramai 52.6 peratus daripada 168,182 orang responden menyatakan sangat terkesan dari aspek kewangan kerana tidak dapat menjalankan aktiviti mereka. Manakala 46.6 peratus yang bekerja sendiri menyatakan kehilangan sumber pendapatan mereka terutama sekali mereka yang terlibat di dalam sektor perkhidmatan, pertanian dan juga pelancongan.

Pasca Covid-19 menuntut kepada pendekatan baharu dan juga inovasi yang dapat memberikan kebaikan kepada semua. Kesan Covid-19 terhadap bidang ekonomi masih belum dapat ditanggapi secara menyeluruh. Namun apa yang pasti akan ada kesan berpanjangan yang disebabkan oleh menurunnya kuasa beli dan juga pekerja yang kehilangan sumber pendapatan mereka.

Saya percaya di dalam setiap krisis adanya peluang untuk kita menjadi lebih baik. Kita tidak boleh berlengah lagi untuk mengukuhkan prasarana digital dan juga teknologi kesihatan kita agar kita dapat menjadi negara yang mandiri yang tidak bergantung kepada negara-negara luar. Bidang biomedik dan juga kajian pandemik dan virus perlu diluaskan agar kita dapat membuat persediaan yang mencukupi di masa akan datang.

Selangor tidak punya pilihan lain melainkan menjadi peneraju yang merintis jalan kemajuan ini. Demi merealisasikan cita-cita ini kita memerlukan sokongan setiap individu, setiap institusi serta agensi kerajaan dan pentingnya Kerajaan Negeri mempunyai hubungan simbiotik yang profesional demi kebaikan rakyat Selangor khususnya.

*Kenyataan media oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 15 April 2020


Pengarang :