BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pasar Agro Selangor di Bangi catat nilai jualan RM23,000 hari pertama

SHAH ALAM, 26 APRIL: Pasar Agro Selangor di Laman Niaga Komuniti, Bandar Baru Bangi mencatatkan nilai jualan keseluruhan RM23,000 pada hari pertama pembukaan Rabu lalu, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata pasar segar terkawal setiap Rabu dan Ahad bakal mencatat urus niaga lebih banyak berikutan ia semakin mendapat perhatian rakyat Selangor.

“Berdasarkan pemantauan dan maklum balas peniaga, mereka menyatakan pengunjung hari ini (Ahad) lebih ramai berbanding Rabu lalu. Saya yakin jualan semakin bertambah.

“Malah, saya difahamkan tempahan awal juga semakin meningkat kepada 23 pembeli berbanding Rabu lalu hanya tiga orang. Hal itu jelas menunjukkan rakyat mulai sedar kewujudan pasar segar ini,” katanya pada sidang media untuk memaklumkan perkembangan Pasar Agro Selangor@Pasar Segar Terkawal di sini hari ini.

Ir Izham berkata pihaknya bercadang untuk menambah lebih banyak gerai di pasar segar bagi memastikan ramai usahawan tani dapat memasarkan barangan jualan mereka.

“Tambahan ini akan mengambil kira faktor keselamatan dan penjarakan. Tujuan kita hanya mahu membantu usahawan tani supaya produk jualan tidak rosak memandangkan mereka ada yang jual ayam, ikan dan sayur,” katanya.

Pasar Agro Selangor yang berkonsepkan pandu lalu dan tempahan awal beroperasi Rabu dan Ahad bertujuan menyediakan barang keperluan dan hasil tani kepada penduduk setempat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara barangan segar dijual ialah ayam, ikan, daging, sayur dan buah-buahan. Pesanan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 3 petang menerusi WhatsApp ke 011-3337 2170.

Sembilan lokasi lain Pasar Agro Selangor ialah Holysmoke Cafe Seksyen 13 Shah Alam, Restoran Mak Uda Seksyen 15 Shah Alam, Mad About Cafe Petaling Jaya, selain Pusat Operasi Fama di Dengkil, Puchong, Kuala Selangor dan Sabak Bernam serta pasar tani kekal Selayang dan My Farm Outlet Putrajaya.


Pengarang :