Operasi Pasar Agro Selangor di Laman Komuniti Bandar Baru Bangi lancar menerusi konsep pandu lalu. – Foto FB Fama
AGENDANASIONAL

Pasar Agro Selangor pandu lalu di Bangi lancar

SHAH ALAM, 22 APRIL: Pasar Agro Selangor di Laman Komuniti Bandar Baru Bangi berkonsep pandu lalu dan tempahan awal bermula hari ini beroperasi lancar.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memaklumkan program pasar segar terawal yang berlangsung pada Rabu dan Ahad itu bertujuan menyediakan barang keperluan dan hasil tani kepada penduduk setempat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia membabitkan penjualan tujuh komoditi terpilih dengan disertai 14 usahawan. Sempena hari pertama program, Fama mengadakan kempen lebihkan makan buah-buahan,” katanya menerusi Facebook.

Fama menyerahkan buah-buahan kepada petugas barisan hadapan sempena operasi hari pertama Pasar Agro Selangor di Laman Komuniti Bandar Baru Bangi. – Foto FB Fama

Agensi itu turut menyerahkan buah-buahan kepada 100 anggota petugas barisan hadapan serta 100 pengunjung terawal sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Antara barangan segar dijual adalah ayam, ikan, daging, sayur dan buah-buahan yang mana pesanan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 3 petang menerusi WhatsApp ke 011-33372170.

Sembilan lokasi lain Pasar Agro Selangor ialah Holysmoke Cafe Seksyen 13 Shah Alam, Restoran Mak Uda Seksyen 15 Shah Alam, Mad About Cafe Petaling Jaya, selain Pusat Operasi Fama di Dengkil, Puchong, Kuala Selangor dan Sabak Bernam serta pasar tani kekal Selayang dan My Farm Outlet Putrajaya.


Pengarang :