AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pasar Agro Selangor raih nilai jualan lebih RM2 juta

SHAH ALAM, 9 APRIL: Pasar Agro Selangor yang dilancarkan 27 Mac lalu mencatatkan nilai jualan lebih RM2 juta, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata menerusi program tersebut, tidak timbul lagi isu lambakan produk pertanian di pasaran, khususnya sayuran dan buah-buahan di negeri ini seperti dialami pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menerusi Selangor Agro Market, kita berjaya menyelesaikan dua isu utama iaitu satu petani tidak dapat memasarkan produk manakala kedua bekalan makanan buat rakyat negeri ini sentiasa mencukupi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berucap pada majlis Graduasi Sekolah Ladang Petani (FFS) di Dewan Dato Penggawa Permatang, Kuala Selangor pada 11 Februari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI

Izham berkata, belum sampai sebulan Selangor Agro Market berjaya mengutip hasil jualan  lebih RM2 juta dan angka itu dijangka bertambah kerana sambutan pembeli sangat baik.

“Kita dapati rakyat berpuas hati dengan Selangor Agro Market kerana harga lebih murah, selain produk lebih segar kerana dibawa terus dari ladang,” katanya.

Sembilan lokasi Selangor Agro Market ialah Holysmoke Cafe di Seksyen 13 Shah Alam, Restoran Mak Uda di Seksyen 15 Shah Alam, Mad About Cafe di Petaling Jaya, selain Pusat Operasi Fama di Dengkil, Puchong, Kuala Selangor dan Sabak Bernam serta pasar tani kekal Selayang dan My Farm Outlet Putrajaya.


Pengarang :