Salah seorang penduduk di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang menerima barangan yang dibeli menggunakan khidmat penghantar barangan melalui celahan pagar kawat duri ketika tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pusat Bandar Utara pada 21 April 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pasar Borong Kuala Lumpur kembali operasi, kawalan ketat

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang kembali beroperasi bermula hari ini selepas selesai menjalani proses sanitasi dan kerja pembersihan selama empat hari di kawasan beerkenaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihak berkuasa akan memantau operasi pasar borong tersebut supaya peniaga mematuhi peraturan dan prosedur yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja di kawasan itu.

Selain itu, katanya, penjual, pekerja dan pemandu lori dikehendaki menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang sesuai seperti penutup mulut dan hidung dan sarung tangan serta lori membawa bekalan dibenarkan masuk mengikut jadual yang ditetapkan.

“Mereka mesti kena ikut peraturan, jika didapati, kami akan tutup semula operasi Pasar Borong,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Annuar berkata pekerja Pasar Borong yang tinggal di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar pusat bandar utara di Selayang tidak boleh kembali bekerja dan perlu tinggal dalam kediaman masing-masing.

“Semua penduduk di kawasan itu dikehendaki menjalani saringan Covid-19 dan perlu dikuarantinkan selama 14 hari, baru boleh keluar selepas PKPD,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :