AGENDANASIONAL

Pasar tani di Stadium Shah Alam bermula Ahad ini

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Keselamatan Negara meluluskan tapak Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di sini sebagai lokasi pasar tani sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Ahad ini, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata ia susulan pengumuman kerajaan supaya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengambil tanggungjawab menjual barangan basah bagi mengurangkan kesesakan di pasar awam.

“Bagaimanapun kawalan ketat dilakukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang pasar tani beroperasi maka untuk kemudahan pembeli, Kerajaan Negeri wujudkan laluan pandu lalu bagi mengelakkan kesesakan.

“Tetapi jika anda menggunakan laluan berkenaan, harus diingat hanya pemandu sahaja boleh datang membuat pembelian, tidak boleh berdua atau lebih daripada itu, kita masih perlu mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya ketika siaran langsung menerusi Facebook hari ini.

Pada 31 Mac lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 97 pasar tani di bawah seliaan Fama beroperasi di seluruh negara.

Ia melibatkan pasar tani terpilih dengan 10 lokasi, pasar tani kekal (16), pusat operasi Fama (17), My Farm Outlet (3), Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (34) dan selebihnya di kompleks jabatan dan agensi bersesuaian.


Pengarang :