AGENDA

Pasar Tani Stadium Shah Alam dikaji semula – MB

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kerajaan Selangor sedia mengkaji semula penganjuran pasar tani di Stadium Shah Alam Seksyen 13 yang dijadual bermula Ahad ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia berikutan pihaknya menerima pelbagai pandangan berhubung pasar tani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) itu.

“Penganjuran ini difahamkan selaras dengan dengan arahan baru Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan bekalan makanan sentiasa cukup.

“Saya akan berjumpa EXCO terbabit untuk menilai semula penganjurannya,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Semalam EXCO Pertanian, Ir Izham Hashim berkata MKN meluluskan tapak Stadium Shah Alam di Seksyen 13 sebagai lokasi pasar tani Fama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum itu, pada 31 Mac, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 97 pasar tani di bawah seliaan Fama beroperasi di seluruh negara.

Ia melibatkan pasar tani terpilih dengan 10 lokasi, pasar tani kekal (16), pusat operasi Fama (17), My Farm Outlet (3), Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (34) dan selebihnya di kompleks jabatan dan agensi bersesuaian.


Pengarang :