AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pasukan petugas Selangor kongsi video ‘Makcik Kiah dan Covid-19’

SHAH ALAM, 3 APRIL: Pasukan Petugas Cegah Covid-19 Selangor (STFC) berkongsi video menggunakan watak Makcik Kiah yang popular baru-baru ini bagi menerangkan bahaya rantaian jangkitan wabak itu.

Rakaman bertajuk “Makcik Kiah dan Covid-19” mengisahkan Ayob yang baru pulang dari luar negara mengabaikan nasihat pegawai kesihatan untuk mengkuarantinkan diri hingga mengakibatkan jangkitan kepada empat generasi.

Mengikut video dua minit terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia yang dimuatkan ke Twitter rasmi pasukan itu, Rosnah, isteri Ayob kemudian bersalam dengan Makcik Kiah sebelum virus berkenaan merebak pula kepada jirannya Gayah dan Siti yang menghidap penyakit kencing manis.

“Covid-19 mudah menjangkiti warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik berisiko menghidap Covid-19 lebih tinggi,” video itu dipetik.

Satu lagi rakaman selama seminit pula menjelaskan panduan untuk memutuskan rantaian jangkitan dengan memaparkan nasihat bermanfaat kepada orang ramai.

Panduan itu termasuk amalan kuarantin jika pulang dari luar negara, jarak satu meter dengan individu lain, etika batuk serta bersin dengan betul dan kerap mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman.

“Amalkan nyahkuman di kawasan selalu disentuh dan akhir sekali pakai penutup mulut dan hidung jika bergejala. Bersama-sama kita putuskan rangkaian jangkitan Covid-19,” video itu dipetik lagi.

Nama Makcik Kiah tular berikutan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebutnya sebagai contoh golongan yang turut menerima bantuan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion pada 27 Mac lalu.


Pengarang :