SELANGOR

Patuh perintah kawalan, elak jangkitan kepada golongan berisiko

SHAH ALAM, 13 APRIL: Perintah kawalan pergerakan (PKP) penting dipatuhi semua rakyat bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 kepada golongan berusia dan berpenyakit kronik.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor berkata dua golongan itu terdedah kepada risiko kematian sekiranya dijangkiti wabak berkenaan.

“Maknanya PKP sangat penting untuk dipatuhi supaya ia tidak merebak ke ibu bapa dan keluarga anda,” tulisnya di Twitter malam ini.

Bagi menyokong hujah berkenaan, pasukan itu turut berkongsi data yang menunjukkan 60 peratus daripada kematian dalam kes Covid-19 di Malaysia adalah terdiri daripada golongan berusia 60 tahun ke atas.

Sebanyak 75 peratus kematian terdiri daripada mereka mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi manakala 60 peratus daripada kluster perhimpunan Seri Petaling.


Pengarang :