Pasukan perubatan merawat pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi di Hospital Vall d’Hebron, Barcelona pada 1 April 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

PBB: Covid-19 krisis global paling buruk

SHAH ALAM, 2 APRIL: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan jangkitan Covid-19 sebagai krisis global terburuk sejak Perang Dunia Kedua, kata setiausaha agungnya.

Antonio Guterres berkata pandemik itu dijangka mencetuskan lebih banyak konflik di seluruh dunia dengan mengancam setiap individu dan memberi kesan kepada ekonomi seterusnya membawa kancah kemelesetan, lapor AFP.

“Kombinasi dua fakta ini dan risiko susulannya boleh membawa kepada ketidakstabilan, menambah kekacauan dan konflik yang kita fikir ia (Covid-19) adalah krisis paling mencabar pernah dihadapi sejak Perang Dunia Kedua.

“Justeru, tindak balas lebih berkesan dan tegas hanya dengan bersolidariti. Jika semua orang bersatu dan jika kita mengetepikan mainan politik dan memahami apa itu erti kemanusiaan, kita akan mengatasinya,” katanya.

Setakat ini, lebih 40,000 orang terkorban dan hampir 800,000 dijangkiti wabak itu di seluruh dunia.

Semalam, PBB menubuhkan satu tabung baharu untuk membantu negara yang sedang membangun, selepas berbuat demikian untuk negara miskin dan sedang dilanda konflik, minggu lalu.


Pengarang :