Gambar Hiasan
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

PBT Selangor tidak halang operasi syarikat diluluskan MITI

SHAH ALAM, 30 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tidak menghalang operasi syarikat atau kilang yang sudah mendapatkan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata pihaknya tetap memantau operasi mereka supaya mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Kerajaan seperti digariskan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“PBT tidak akan menghalang sekiranya kilang mendapat kelulusan MITI. Bagaimanapun, pemantauan akan dijalankan untuk memastikan mereka mematuhi SOP. Pemantauan juga dilakukan setiap hari sehingga tengah malam,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata pihaknya menerima kira-kira 10 aduan dalam kalangan operator pengeluar barangan elektronik yang dilarang PBT untuk terus beroperasi tanpa sekatan masa, mulai hari ini.

Kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi yang mendapat kelulusan beroperasi ketika PKP boleh menjalankan aktiviti secara kapasiti penuh tanpa sekatan sebarang sekatan masa.

Bagaimanapun, kelonggaran itu tertakluk kepada kewajipan syarikat berkaitan untuk mematuhi syarat SOP yang ditetap bagi sektor masing-masing.


Pengarang :