Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Penutup Perkampungan Menara Gading Selangor di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 28 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pelaburan Selangor RM47.8 bilion, nilai tertinggi di Malaysia

SHAH ALAM, 21 APRIL: Selangor kekal cemerlang mencatatkan nilai pelaburan tertinggi di Malaysia sebanyak RM47.8 bilion sepanjang 2019, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata pengumuman Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) semalam itu turut diiringi kejayaan dalam sektor pembuatan dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM17 bilion mengatasi negeri lain.

“Prestasi pelaburan dalam sektor pembuatan bagi tahun 2018 adalah yang terbaik buat Selangor sepanjang 25 tahun yang lepas.

“Kecemerlangan tersebut diteruskan tahun ini dengan mendapat jumlah pelaburan tertinggi pada tahun 2019 daripada kedua-dua kategori iaitu pertama sektor pembuatan manakala kedua daripada jumlah pelaburan keseluruhan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Justeru, kata beliau, kedudukan Selangor sebagai destinasi pilihan pelabur kekal tidak terusik walaupun tahun 2019 dilanda dengan cabaran Perang Dagang Amerika Syarikat-China yang menyebabkan kelembapan pasaran yang agak ketara.

Selain itu, katanya, Selangor turut berada di posisi terbaik untuk mempertingkatkan lagi inisiatif digitalisasi serta mempelbagaikan aliran pendapatan melalui inovasi dan mempermudah tatacara pentadbiran walaupun berdepan cabaran wabak Covid-19 serta kejatuhan harga minyak mentah sehingga bawah paras sifar.


Pengarang :