Rakyat Malaysia yang ditempatkan di Pusat Pemantauan di Bandar Enstek selepas melepasi tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 22 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelajar pulang dari luar negara dinasihat patuh SOP – KKM

SHAH ALAM, 30 APRIL: Pelajar Malaysia yang pulang ke negara ini dinasihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang menetap di kawasan berisiko tinggi kes Covid-19 memerlukan pemantauan rapi jika mereka pulang ke tanah air.

“Kita tahu ramai pelajar Malaysia masih di luar negara dan mahu pulang dan jika mereka pulang, mereka kena kuarantin dan jalani ujian saringan.

“Nasihat Kementerian Kesihatan kepada pelajar di luar negara adalah terus ambil langkah pencegahan kerana kita semua perlu sedar bahawa tiada vaksin atau ubat untuk merawat Covid-19,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Hari ini Malaysia merekodkan 57 kes baharu Covid-19 dengan 25 daripadanya melibatkan kes import membabitkan warganegara dan pelajar Malaysia, manakala semalam negara merekodkan 72 kes import.

Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berulang kali menasihat rakyat Malaysia di luar negara untuk kekal di sana sehingga penularan Covid-19 pulih.

Beliau berkata, ia bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu berikutan pergerakan secara besar-besaran masuk ke Malaysia.


Pengarang :